Tuesday 5 May 2015

[NOVEL] FLY (BAB 22)

Johanna bekukan wajah saat pelajar-pelajar lain di sekelilingnya memerhatikan dia sambil berbisik-bisik. Nafasnya dihela. Payah sungguh manusia yang jenis suka menghukum tanpa siasat ni.
“Jo, senyum...” Nuha tarik kedua-dua hujung bibir Johanna dengan tangannya.
Johanna ukir senyum segaris sebelum kembali mematikan senyuman itu, “Korang nak tak mee ni?”
Elly dan Nida saling berpandangan, “La, kenapa? Makanlah.”
“Aku tak ada seleralah,” ujar Johanna. Mee yang ada di dalam pinggan dikuis-kuis dengan garfu di tangan. Wajah Jehan terbayang di mindanya. Entah kenapa, bagai ada rindu yang menggamit di hatinya sedangkan baru semalam mereka berjumpa.
“Kenapa?” Tanya Nida sambil memandang Johanna. Dia sedar yang Johanna tidak seperti kebiasaannya. Selalunya dia sering bergurau dan mengusik Nuha tapi sejak dia pulang ke asrama semalam, dia menjadi sedikit pendiam.
“Entah,” balas Johanna, pendek.
“Orang banyak dosa, memang macam tu. Kan, Peah?” Rena yang duduk membelakangi Johanna bersuara, sinis. Geramnya pada Johanna masih bersisa.
“Itulah. Aku ingatkan aku dah tak payah nampak dah muka dia, alih-alih ada lagi kat sekolah ni. Cikgu kesian kot. Anak kurang kasih sayang mak bapak, kan?”
“Tapi syukurlah, seminggu kena gantung dah boleh berubah. Dah pakai tudung,” ujar Moni, ikhlas.
Rena julingkan mata pada Moni, “Ala, pakai tudung tapi hati busuk buat apa. Mencemarkan nama orang-orang lain yang pakai tudung.”